• Jabatan Pendaftar
  • Taklimat Insuran Bersama Staf UUM 2014
  • Hari Bersama Pelanggan 2014
  • Aktivit Jabatan Pendaftar 2014

By Plimun Web Design

SKIM PERKHIDMATAN PERUBATAN STAF UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

1.0 PENGENALAN

      1.1 NAMA

            Skim ini dinamakan Skim Perkhidmatan Perubatan Staf Universiti Utara Malaysia

      1.2 TUJUAN

            Skim ini bertujuan menetapkan perkhidmatan dan kemudahan perubatan kepada staf dan tanggungan mereka dengan pembiayaan yang ditentukan oleh Universiti serta keadaan pentadbiran berkaitan dengannya.

     1.3 PEMAKAIAN

          Peruntukan-peruntukan dalam skim ini adalah terpakai bagi semua staf yang layak melainkan jika ada dinyatakan selainnya dalam syarat-syarat perlantikan seseorang staf atau dalam syarat-syarat pemberian biasiswa atau cuti belajar atau cuti sabatikal atau penempatan industri di dalam negeri.

     1.4 TAKRIFAN DALAM SKIM INI

             a) 'Doktor Kerajaan' bermaksud doktor yang berkhidmat dengan mana-mana Hospital Kerajaan.

             b) 'Doktor Panel' bermaksud doktor perubatan yang bertauliah atau berdaftar yang bertugas di klinik panel yang dilantik oleh UUM.

             c) 'Doktor Swasta' bermaksud doktor perubatan berdaftar yang tidak berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia dan tidak disenarai atau tidak dilantik sebagai Doktor Panel.

            d) 'Doktor Universiti' bermaksud seseorang pegawai perubatan yang berkhidmat di UUM khususnya di Pusat Kesihatan Universiti.

            e) 'Hospital Kerajaan' bermaksud mana-mana hospital Kerajaan, pusat atau klinik perubatan Kerajaan di Malaysia termasuk hospital-hospital Universiti.

            f) 'Klinik Panel' bermaksud mana-mana hospital swasta, pusat perubatan swasta dan klinik perubatan swasta yang dilantik oleh Universiti untuk memberi rawatan perubatan kepada staf dan tanggungan mereka seperti yang diperuntukan di dalam skim ini.

           g) 'Staf' bermaksud seseorang yang dilantik untuk berkhidmat dengan Universiti ini yang layak menerima faedah dan kemudahan perkhidmatan perubatan mengikut syarat-syarat di perenggan 2.1 (a).

           h) 'Ibu bapa Staf' bermaksud ibu kandung atau bapa kandung atau ibu tiri atau bapa tiri atau ibu angkat atau bapa angkat yang pertalian kekeluargaan adalah sah di undang-undang.

            i) 'Staf Sambilan' bermaksud seseorang yang dilantik untuk berkhidmat dengan Universiti ini dan digajikan oleh Universiti mengikut kadar gaji harian berdasarkan kelayakan seperti pada skim.

            j) 'Pesara' bermaksud mereka yang menamatkan perkhidmatan dengan Universiti sama ada bersara wajib, bersara pilihan atau bersara atas sebab kesihatan. Mereka yang tidak di bawah kategori ini tidak dilindungi oleh skim ini.

           k) 'Lembaga Perubatan' bermaksud sebarang Lembaga yang diluluskan mengikut perkhidmatan untuk staf UUM seperti di perenggan 9.

           l) 'LPU' bermaksud Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.

         m) 'Naib Canselor' bermaksud Naib Canselor Universiti Utara Malaysia.

          n) 'Pendaftar' bermaksud Pendaftar Universiti Utara Malaysia.

          o) 'Skim' bermaksud Skim Perkhidmatan Perubatan Staf Universiti Utara Malaysia.

          p) 'Stesen Yang Sama' bermaksud satu lingkungan kawasan 33 km dari pejabat atau dari rumah kediaman atau kedua-duanya.

          q) 'Tanggungan staf' bermaksud isteri atau isteri-isteri atau suami serta anak-anak yang sah layak menerima faedah di bawah skim ini.

           r) 'Universiti' bermaksud Universiti Utara Malaysia.

2.0 KELAYAKAN

      2.1 PEGAWAI YANG LAYAK

            Staf yang layak mendapat kemudahan di bawah skim ini adalah seperti berikut:

            a) Staf

                 Semua staf Universiti yang dilantik secara tetap, kontrak, sementara, pinjaman, tukar sementara, tutor atau mana-mana staf yang syarat perlantikannya ada peruntukan kemudahan bagi mendapatkan faedah di bawah skim ini.

            b) Tanggungan Staf Tetap

                 i. Isteri atau isteri-isteri atau suami yang sah;

                 ii. Anak-anak yang ditanggung sepenuhnya termasuk anak tiri atau anak angkat yang sah di sisi undang-undang dengan syarat anak itu berumur tidak melebihi 18 tahun (kecuali anak yang masih belajar sepenuh masa, belum bekerja/belum berkahwin tidak melebihi 21 tahun) dan tiada had umur bagi anak yang daif.

                iii. Ibu bapa yang sah boleh mendapatkan rawatan perubatan terhad kepada Hospital Kerajaan, Klinik Kerajaan dan Pusat Kesihatan Universiti sahaja.

                     Tafsiran 'ibu bapa yang sah' bermakna ibu kandung atau bapa kandung atau ibu tiri atau bapa tiri atau ibu angkat atau bapa angkat yang pertalian kekeluargaan adalah sah di sisi undang-undang.

            c) Staf Kontrak/Sementara

                Kemudahan mendapatkan rawatan perubatan untuk diri sendiri dan tanggungan sahaja di Hospital Kerajaan, Klinik Kerajaan, Pusat Kesihatan Universiti dan Hospital Swasta serta Pusat Perubatan Swasta bagi kes bersalin sahaja.

            d) Staf Sambilan

                 Kemudahan mendapatkan rawatan perubatan untuk diri sendiri sahaja sama ada di Hospital Kerajaan, Klinik Kerajaan atau Pusat Kesihatan Universiti.

            e) Pesara Universiti Utara Malaysia

                 Pesara Universiti dan pasangan (tidak termasuk tanggungan) boleh mendapat rawatan di Pusat Kesihatan Universiti dengan semua bayaran perubatan sebagai pesakit luar ditanggung oleh Universiti. Pihak Universiti akan mengeluarkan kad pengenalan pesara Universiti kepada semua pesara.

      2.2 Kad Rawatan

            Bagi tujuan mendapatkan rawatan setiap staf atau tanggungan hendaklah menunjukkan kad pekerja kepada petugas kaunter di Klinik Panel, Pusat Kesihatan Universiti dan Hospital Swasta serta Pusat Perubatan Swasta (bagi kes bersalin sahaja)

      2.3 Had-Had Skim

            Kemudahan yang layak diperolehi di bawah skim ini oleh staf dan tanggungan mereka adalah terhad kepada kemudahan yang disediakan oleh Klinik Kerajaan, Hospital Kerajaan, Klinik Panel, Pusat Kesihatan Universiti dan Hospital Swasta serta Pusat Perubatan Swasta (bagi kes bersalin sahaja).

3.0 Rawatan Pesakit Luar

       3.1 Klinik Panel

             Syarat-syarat berikut hendaklah dipatuhi bagi perlantikan klinik panel:

              a) Tiada tempoh tertentu dikenakan bagi sesuatu perlantikan klinik panel;

              b) Pihak Universiti boleh menamatkan perkhidmatan mana-mana klinik panel pada bila-bila masa mengikut kesesuaian budibicaranya;

               c) Jika ada di antara klinik panel mempunyai cawangan, cawangannya itu dengan sendirinya menjadi klinik panel kepada Universiti;

              d) Bagi maksud skim ini, semua doktor yang bertugas di sesebuah klinik panel, termasuk mereka yang mempunyai kelulusan pakar adalah dianggap sebagai pengamal perubatan umum dan bukan sebagai doktor pakar;

             e) Senarai klinik panel yang dilantik adalah seperti di Lampiran 1. Universiti telah melantik beberapa klinik panel di sekitar Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

       3.2 Pemilihan Klinik Panel

             Staf atau tanggungan boleh memilih dua (2) klinik panel untuk mendapatkan rawatan. Walau bagaimanapun ini tidak menghalang staf untuk mendapat rawatan di klinik-klinik panel lain atas sebab-sebab tertentu.

       3.3 Rawatan Di Klinik Panel

             Staf atau tanggungan yang memerlukan rawatan di Klinik Panel hendaklah menunjukkan kad pekerja pada setiap kali mereka pergi ke klinik panel untuk mendapatkan rawatan perubatan.

       3.4 Rawatan Di Klinik Kerajaan

             Staf atau tanggungan boleh mendapat rawatan pesakit luar di mana-mana Klinik Kerajaan di seluruh negara.

       3.5 Had-Had Rawatan

             Had rawatan yang dikenakan kepada staf atau tanggungan di klinik panel adalah tertakluk kepada kelulusan Universiti dari masa ke semasa dan tiada had rawatan yang dikenakan kepada staf atau tanggungan di mana-mana hospital atau pusat perubatan yang dibenar oleh Universiti.

       3.6 Kecemasan

             Dalam keadaan kecemasan, apabila klinik atau doktor panel tidak dapat dihubungi, staf dan tanggungan hendaklah mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan, Klinik Kerajaan atau Pusat Kesihatan Universiti. Namun demikian jika berlaku kemalangan berhampiran dengan Hospital Swasta atau Pusat Perubatan Swasta staf tersebut dibolehkan terus mendapat rawatan di hospital berkenaan.

       3.7 Rawatan Pakar Pesakit Luar

             Staf atau tanggungan boleh mendapatkan khidmat perundingan dan rawatan daripada doktor pakar di Hospital Kerajaan atas perakuan Pegawai Perubatan Kerajaan, Doktor Universiti atau Doktor Panel. Sekiranya disahkan oleh pihak berkuasa di Hospital Kerajaan bahawa kemudahan rawatan pakar berkenaan tidak diperolehi atau tidak disediakan oleh Hospital Kerajaan pada masa yang diperlukan mengikut keadaan penyakit, maka staf atau tanggungan boleh mendapatkan khidmat perundingan dan rawatan pakar di Hospital swasta atau klinik swasta yang dirujuk oleh pihak berkuasa Hospital Kerajaan.

             Sekiranya Doktor Universiti atau Doktor Panel merujuk atau memperakukan staf atau tanggungan terus ke hospital swasta / klinik swasta, staf perlu menanggung kos keseluruhan rawatan yang diterima. Walau bagaimanapun bagi kes-kes tertentu Naib Canselor atas budibicaranya boleh meluluskan keseluruhan atau sebahagian kos yang dikenakan ke atas staf.

       3.8 Rawatan Yang Dilindungi Di Klinik-Klinik Kerajaan, Klinik Panel dan Pusat Kesihatan Universiti

            a) Rawatan pesakit luar di klinik-klinik panel yang dilantik oleh Universiti untuk penyakit-penyakit biasa termasuk prosedur seperti I&D, T&S, ECG dan nebuliser dan lain-lain perkhidmatan perubatan yang diperlukan.

           b) Imunisasi wajib untuk bayi dan kanak-kanak seperti yang dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan (B.C.G., DPT/OPV, Measles, Hepatitis bayi, dos tambahan untuk DPT/OPV).

           c) Pemeriksaan dan rawatan untuk antenatal dan postnatal dan penyakit yang berkaitan dengan mengandung termasuk keguguran dari sebab fisiologi atau sosial dan bergantung kepada had-had rawatan pesakit luar.

           d) Ujian makmal yang dilindungi adalah seperti calcium, cholestrol, HDL, LIL, triglyceride, electrolytes, glucose, OGTT, HbA1c, SGOT/SGPT, T3, T4, TSH, urea, uric acid.

               Urine:

               Albumin, acetone, FEME, SG.

              Hematology:

              BT, Ct, PT, PTT, TWDC, FBP, FBC, G6pd, Hb, Blood group.

              Microbiology:

              BFMP, Widal-Weil Felix, HbsAg, AIDS.

              Serology:

              ASOT, Monospot test, Rh. Factor, ANA, dsDNA

          e) Perkhidmatan diagnostik - hanya yang diperlukan untuk tujuan mengenalpasti penyakit diagnostik dan rawatan. Laporan terperinci dari makmal diperlukan untuk kemudahan proses pembayaran.

    3.9 Rawatan Yang Dilindungi Di Pusat Kesihatan Universiti Sahaja

          Pil rawatan untuk merancang keluarga.

    3.10 Rawatan Yang Tidak Dilindungi

            Tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa yang akan diputuskan oleh Universiti. Bayaran perubatan dan rawatan yang tidak akan dibiayai oleh Universiti di bawah Skim ini adalah seperti berikut:

            a) Rawatan untuk penyakit kurang daya tahan penyakit (AIDS) atau komplikasi berkaitan dengan AIDS (AIDS related complex [ARC]) dan penyakit kelamin (Sexually Transmitted Disease [STD]);

            b) Terapi tradisional atau alternatif seperti sinseh, akupuntur, homopati dan bomoh;

            c) Permohonan untuk membeli atau menyewa prostesis seperti kaki atau tangan palsu, alat bantuan penglihatan seperti cermin mata atau kanta sesentuh, alat penyokong dan lain-lain kecuali 'surgical implant' yang diperlukan dari segi perubatan terutama untuk selamatkan nyawa;

           d) Kecederaan yang disebabkan oleh keadaan tidak waras atau disengajakan (self inflicted injuries);

           e) Rawatan untuk kuatkan mental, psikologi dan emosi;

           f) Imunisasi pilihan untuk orang dewasa seperti hepatitis, tipoid, rubella, mumps, chicken pox dan lain-lain;

          g) Imunisasi pilihan untuk kanan-kanak dan bayi seperti MMR (mumps-measles-rubella) atau Haemophilus influenza B meningitis;

          h) Imunisasi perjalanan seperti yellow fever vaccines, meningococcal meningitis, tipoid, hepatitis, taun dan lain-lain;

          i) 'House-calls', rawatan dan penjagaan persendirian;

          j) Rawatan pulih anggota secara pesakit luar (kecuali di klinik kerajaan sahaja). Pengecualian boleh diberi kepada staf yang mewakili Universiti dalam aktiviti yang telah mendapat kelulusan daripada Naib Canselor;

          k) Rawatan untuk ketagihan dadah, arak atau lain-lain penyakit berjangkit yang perlukan pengasingan atau kuarantin sewaktu kejadian wabak;

           l) Pemeriksaan dan ujian kesihatan yang diperlukan oleh pihak ketiga bagi tujuan insuran permohonan membawa kenderaan, ujian saringan dan sebagainya;

          m) Rawatan pembedahan plastik kecuali yang diperlukan oleh kerana kecederaan akibat kemalangan;

          n) Pembedahan kosmetik untuk tujuan kecantikan termasuk pembedahan pertukaran jantina;

          o) Kecederaan atau penyakit akibat dari peperangan ('declared or undeclared) semasa bertugas di mana-mana pengkalan;

          p) Kecederaan atau penyakit akibat dari penglibatan secara langsung di dalam demontrasi, rusuhan dan kegemparan awam (civil commotion);

          q) Kecederaan akibat perlumbaan dari apa jenis sekalipun (kecuali berjalan kaki) seperti sky diving, scuba diving, mountaineering atau lain-lain sukan lasak kecuali aktiviti yang diluluskan oleh Universiti;

          r) Ujian, rawatan dan prosedur untuk kecantikan seperti 'liposuction', pembedahan perut, makanan tambahan dan pil mengawal selera;

          s) Rawatan untuk penyakit teruk seperti pemindahan organ, terapi erythropoietin dan rawatan renal dialysis pesakit luar;

          t) Semua jenis vitamin, makanan tambahan, steroid untuk kekuatan dan barangan kosmetik;

          u) Berkhatan;

          v) Ujian makmal yang tidak disyorkan oleh doktor; dan

         w) Pemeriksaan dan ujian kesihatan rutin yang tiada sebarang objektif atau tujuan tertentu.

4.0 Kemudahan Rawatan Kemasukan Ke Hospital

      4.1 Rawatan Di Hospital Kerajaan

            Staf atau tanggungan yang memerlukan rawatan perubatan di Hospital Kerajaan hendaklah mendapatkan surat jaminan daripada Jabatan Pendaftar. Tempoh sah sesuatu surat jaminan adalah selama tiga (3) bulan dari tarikh dikeluarkan sekiranya belum digunakan.

     4.2 Permohonan Surat Jaminan

           Permohonan untuk mendapatkan surat jaminan perubatan bagi staf atau tanggungan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya satu (1) hari lebih awal dengan memberikan No. Pekerja, Nama Pesakit dan Hospital Kerajaan yang hendak dilawati.

     4.3 Rawatan Dalam Wad

           Staf atau tanggungan yang dimasukkan ke dalam wad mengikut kelayakan dikecualikan bayaran wad pada had yang ditetapkan atau dikenakan oleh Hospital Kerajaan. Bagi staf yang dimasukkan ke wad di hospital Kerajaan kerana kecederaan yang dialami semasa menjalankan tugas rasmi, segala bayaran wad yang berkelayakan akan ditanggung sepenuhnya oleh Universiti.

    4.4 Kelayakan Wad

          Staf atau tanggungan layak mendapat kemudahan wad di Hospital Kerajaan dan lain-lain mengikut kelas yang ditetapkan secara percuma mengikut kadar kelayakan yang sama dengan taraf gred staf seperti jadual berikut.

          Bil Kumpulan Perkhidmatan Kelas Wad Hospital

Bil

Kumpulan Perkhidmatan

Kelas Wad Hospital

01.

Pengurusan Tertinggi

Kelas Satu Bilik Seorang (RM10.00)

02.

Pengurusan & Profesional (45-54)

Kelas Satu Bilik Seorang (RM10.00)

03.

Pengurusan & Profesional (31-44)

Kelas Satu Bilik Dua Orang (RM8.00)

04.

Sokongan (21-30)

Kelas Satu Bilik Empat Orang (RM6.00)

05.

Sokongan (1-20)

Kelas Dua (RM3.00)

          Staf atau tanggungan yang memilih untuk dimasukkan ke wad yang lebih tinggi daripada kelayakan, mereka dikehendaki membayar semua jumlah bayaran wad pada kadar yang ditetapkan bagi kelas yang lebih tinggi itu.

          Jika staf dirujuk oleh klinik atau Hospital Kerajaan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta kerana ketiadaan pakar, maka staf akan diminta membayar perbezaan kadar wad hospital atau klinik swasta dengan kadar wad mengikut kelayakan masing-masing di Hospital Kerajaan.

    4.5 Rawatan Di Luar Ibu Pejabat Atau Stesen

          Sekiranya pihak berkuasa Hospital Kerajaan mengesahkan staf atau tanggungan perlu mendapatkan rawatan di mana-mana hospital atau klinik di luar stesen, maka staf atau tanggungan itu boleh mendapatkan rawatan di tempat yang diperakukan itu serta menuntut elaun-elaun mengikut peraturan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa. Sekiranya staf atau tanggungan dimasukkan ke wad, mereka tidak layak menuntut elaun makan dan lojing.

    4.6 Bayaran Yang Tidak Di tanggung Oleh Universiti

          Perkhidmatan bagi tujuan kemasukan ke wad di Hospital Kerajaan yang tidak ditanggung oleh Universiti adalah seperti jadual berikut:

Bil

Jenis Perkhidmatan 

Bayaran Perkhidmatan

01.

Telefon

Pesakit

02.

Dobi

Pesakit

03.

Cukai Perkhidmatan

Pesakit

04.

Pendaftaran

Pesakit

05.

Disposable

Pesakit

5.0 Rawatan Pergigian

      5.1 Had Perbelanjaan

            Universiti memperuntukkan sebanyak RM300.00 setahun bagi rawatan pergigian kepada staf dan tanggungan. Had perbelanjaan pergigian yang melebihi RM300.00 mestilah ditanggung oleh staf sendiri.Rawatan pergigian yang dibenarkan adalah untuk pemeriksaan, rawatan, tampal, cabut dan cuci.

       5.2 Senarai Panel Klinik Pergigian

             Senarai klinik panel pergigian yang dilantik adalah seperti di Lampiran II.

6.0 Pembekalan Ubat

      6.1 Perbelanjaan Pembekalan Ubat

            Syarat-syarat dan peraturan-peraturan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan ubat ditetapkan seperti berikut:

            a) Perbelanjaan bagi pembekalan ubat yang diperaku oleh Pegawai Perubatan Kerajaan dan disahkan tidak dapat dibekal atau disediakan oleh Hospital atau Klinik     Kerajaan boleh dipertimbangkan dengan syarat ubat tersebut disenaraikan di dalam senarai ubat-ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Hospital Universiti;

            b) Perbelanjaan bagi pembekalan ubat yang tidak disenaraikan di dalam senarai ubat-ubatan KKM atau Hospital Universiti boleh dipertimbangkan dengan syarat pengunaan ubat tersebut hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (bagi rawatan yang diperolehi di hospital/klinik dibawah KKM) atau Pengarah Hospital Universiti (bagi rawatan yang diperolehi di hospital universiti);

           c) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan ubat yang melibatkan keperluan penggunaan bagi suatu tempoh yang berpanjangan adalah dibenarkan. Namun demikian, kelulusan oleh Universiti hendaklah tertakluk kepada had perbelanjaan bagi pembekalan ubat yang melibatkan keperluan penggunaan untuk tempoh tiga (3) bulan sahaja bagi setiap permohonan; dan

          d) Sebarang permohonan perbelanjaan bagi pembekalan makanan atau makanan tambahan atau perubatan altenatif tidak dibenarkan walaupun penggunaan bahan tersebut diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

7.0 Pembekalan Alat

      7.1 Perbelanjaan Pembekalan Alat

            Syarat-syarat dan peraturan-peraturan umum bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan semua jenis dan kategori alat adalah seperti berikut:

            a) Permohonan perbelanjaan bagi pembekalan semua jenis dan kategori alat boleh diluluskan kepada staf dan tanggungan sahaja tetapi tidak dibenarkan kepada ibu bapa yang sah kepada seseorang staf;

            b) Kos yang ditanggung oleh Universiti adalah tertakluk kepada harga alat seperti diperakukan oleh Universiti atau Kementerian Kesihatan Malaysia;

            c) Permohonan perbelanjaan untuk tujuan baik pulih atau menggantikan sebarang alat yang rosak akibat kecuaian adalah tidak dibenarkan;

           d) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan atau penggantian atau baik pulih alat bagi tujuan kosmetik adalah tidak dibenarkan;

           e) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan atau penggantian atau baik pulih alat bagi tujuan selain dari tujuan rawatan kepada penyakit yang dihidapi adalah tidak dibenarkan;

           f) Sebarang kemusykilan mengenai justifikasi keperluan atau pengesahan keperluan atau spesifikasi atau harga alat hendaklah dikemukakan kepada Universiti atau KKM untuk ulasan dan sokongan; dan

         g) Kelulusan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan atau penggantian atau baik pulih alat yang berharga melebihi RM1,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) hendaklah direkodkan dalam Buku Perkhidmatan.

    7.2 Perbelanjaan Untuk Pembekalan Alat Ortopedik

          Syarat-syarat dan peraturan-peraturan tambahan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan alat ortopedik adalah ditetapkan seperti jadual berikut:

Bil

Harga Pembekalan Alat Ortopedik

Perakuan dan Kelulusan

1.

Kurang daripada RM10,000.00

Pendaftar

2.

Melebihi RM10,000

KKM dan Pendaftar

    7.3 Perbelanjaan Untuk Pembekalan Angota Palsu

          Syarat-syarat dan peraturan-peraturan tambahan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan anggota palsu adalah ditetapkan seperti berikut:

          a) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan anggota palsu boleh dipertimbangkan oleh Universiti tanpa mendapatkan perbandingan harga melalui surat sebut harga daripada Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan Orang Kurang Upaya, Bangi;

          b) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan anggota palsu adalah tertakluk kepada harga siling seperti jadual berikut:

Bil

Jenis Amputasi

Harga Siling (RM)

1.

Amputasi bawah lutut

5,000.00

2.

Amputasi paras lutut

10,000.00

3.

Amputasi atas lutut

10,000.00

4.

Amputasi ’through hip’

15,000.00

        c) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan anggota palsu yang berharga sehingga harga siling yang ditetapkan seperti jadual di atas boleh diluluskan oleh Universiti tanpa sokongan atau perakuan KKM; dan

        d) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan anggota palsu yang berharga melebihi harga siling yang ditetapkan seperti jadual di atas hendaklah dirujuk untuk sokongan  atau perakuan KKM sebelum diluluskan oleh Universiti.

  7.4 Perbelanjaan Untuk Pembekalan Kerusi Roda

        Syarat-syarat dan peraturan-peraturan tambahan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan kerusi roda adalah ditetapkan seperti berikut:

             a) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan kerusi roda adalah tertakluk kepada harga siling seperti jadual berikut:

Bil

Jenis Kerusi Roda

Harga Siling (RM)

1.

Standard wheelchair

400.00

2.

Semilight weight wheelchair

1,500.00

3.

Reclining wheelchair

1,500.00

4.

Light weight wheelchair

2,000.00

5.

Tilt-in-space wheelchair

3,000.00

6.

Motorised wheelchair

7,000.00

            b) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan kerusi roda yang berharga sehingga harga siling yang ditetapkan seperti jadual di atas boleh diluluskan oleh Universiti tanpa sokongan atau perakuan KKM; dan

            c) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan kerusi roda yang berharga melebihi harga siling yang ditetapkan seperti jadual di atas hendaklah dirujuk untuk sokongan atau perakuan KKM sebelum diluluskan oleh Universiti.

     7.5 Perbelanjaan Untuk Pembekalan Alat Bantu Pendengaran

            Syarat-syarat dan peraturan-peraturan tambahan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan alat bantu pendengaran adalah ditetapkan seperti berikut:

Bil

Harga Pembekalan Alat Bantu Pendengaran (Harga Seunit)

Perakuan dan Kelulusan

1.

Kurang daripada RM3,500.00

Pendaftar

2.

Melebihi RM3,500

KKM dan Pendaftar

         a) Permohonan perbelanjaan untuk penggunaan alat bantu pendengaran kali pertama, harga siling bagi setiap unit seperti jadual di atas adalah termasuk kos bagi acuan telinga dan bateri; dan

         b) Permohonan perbelanjaan bagi tujuan menggantikan bateri adalah tidak dibenarkan.

    7.6 Perbelanjaan Untuk Pembekalan Alat Rawatan Jantung, Alat Bantu Pernafasan, Koklea Implan, Colostomy Bag, Urine Bag dan Intraocular Lens

         Syarat-syarat dan peraturan-peraturan tambahan bagi permohonan perbelanjaan untuk pembekalan alat rawatan jantung, alat bantu pernafasan, koklea implan, colostomy bag, urine bag dan intraocular lens adalah ditetapkan seperti berikut:

         Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan alat rawatan jantung, alat bantu pernafasan, koklea implan, colostomy bag, urine bag dan intraocular lens boleh diluluskan oleh Universiti tanpa sokongan atau perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

    7.7 Perbelanjaan Untuk Pembekalan Alat-alat Lain

          Syarat-syarat dan peraturan-peraturan tambahan bagi permohonan perbelanjaan alat selain dari alat ortopedik, anggota palsu, kerusi roda, alat bantu pendengaran, alat rawatan jantung, alat bantu pernafasan, koklea implan, colostomy bag, urine bag dan intraocular lens adalah ditetapkan seperti berikut:

Bil

 

Harga Pembekalan Alat-Alat Lain

(Harga Seunit)

Perakuan dan Kelulusan

1.

Kurang daripada RM1,000.00

Pendaftar

2.

Melebihi RM1,000.00

KKM dan Pendaftar

         a) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan alat selain dari alat ortopedik, anggota palsu, kerusi roda, alat bantu pendengaran, alat rawatan jantung, alat bantu pernafasan, koklea implan, colostomy bag, urine bag dan intraocular lens adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap prinsip-prinsip berikut:

             i. Alat atau implan yang diperlukan sekiranya tidak digunakan boleh memudaratkan nyawa pesakit; atau

             ii. Alat yang diperlukan tidak mempunyai altenatif dalam rawatan penyakit atau kecederaan yang dialami.

         b) Perkara seperti di perenggan (i) dan (ii) di atas hendaklah disahkan oleh pegwai perubatan Kerajaan;

         c) Permohonan perbelanjaan untuk pembekalan alat pakai buang adalah tidak dibenarkan.

    7.8 Perbelanjaan Rawatan Penyakit Buah Pinggang

          Permohonan perbelanjaan bagi pembekalan ubat, alat, perkhidmatan perubatan dan rawatan penyakit buah pinggang boleh diperolehi di hospital atau klinik atau agensi swasta perlu dilaksanakan mengikut tatacara seperti berikut:

         a) Permohonan perbelanjaan bagi rawatan hemodialisis dan Continuous Anbulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) yang tidak dapat dibekalkan oleh hospital atau klinik kerajaan boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat bahawa Pakar Nefrologi Kerajaan memperakukan keperluan rawatan berkenaan dan mengesahkan ianya tidak dapat dibekalkan oleh hospital atau klinik Kerajaan;

         b) Permohonan perbelanjaan bagi rawatan hemodialisis yang tidak dapat disediakan oleh hospital atau klinik Kerajaan adalah terhad kepada perbelanjaan rawatan sahaja. Perbelanjaan yang dibenarkan adalah berdasarkan jumlah perbelanjaan sebenar tertakluk kepada had maksimum sebanyak RM200.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus) bagi setiap sesi rawatan;

        c) Perbelanjaan bagi pembekalan ubat atau alat ujian lain yang berkaitan dengan rawatan penyakit buah pinggang adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap tatacara seperti berikut:

             i. Mendapat rawatan di hospital atau klinik Kerajaan;

            ii. Kemudahan perubatan yang diperlukan tidak dapat disediakan oleh hospital atau klinik Kerajaan;

            iii. Perakuan keperluan kemudahan perubatan dan pengesahan oleh pegawai perubatan Kerajaan mengenai perkara (ii) di atas;

            iv. Permohonan dikemukakan dengan menggunakan borang perubatan 1/09 ; dan

            v. Permohonan diluluskan oleh Universiti.

         d) Perbelanjaan yang telah dibuat di hospital atau klinik swasta sebelum tarikh mendaftar dan disahkan menghidapi penyakit and stage renal failure oleh Pakar Nefrologi atau pegawai perubatan di hospital atau klinik Kerajaan tidak boleh dipertimbangkan;

         e) Perbelanjaan untuk pembekalan ubat dan alat pakai buang bagi rawatan CAPD boleh dipertimbangkan jika ia diperakukan tidak dapat disediakan oleh hospital atau klinik Kerajaan;

         f) Perakuan dan pengesahan Pakar Nefrologi Kerajaan hanya perlu dikemukakan kepada Univerisiti semasa permohonan kali pertama sahaja;

        g) Permohonan perbelanjaan bagi pembedahan Arterio Venous Fstula (AVF) di hospital atau klinik swasta boleh dipertimbangkan sekiranya Pakar Nefrologi Kerajaan merujuk pesakit supaya menjalani pembedahan tersebut di hospital atau klinik swasta berdasarkan faktor-faktor berikut:

             i. Kelewatan menunggu giliran pembedahan AVF yang keterlaluan di hospital Kerajaan; atau

             ii. Pembedahan AVF yang pertama gagal; atau

             iii. Kemahiran pembedahan AVF di hospital atau klinik swasta adalah lebih baik berbanding di hospital atau klinik Kerajaan.

  7.9 Perbelanjaan Rawatan Kepakaran

        Syarat-syarat dan peraturan-peraturan bagi permohonan perbelanjaan untuk rawatan kepakaran adalah ditetapkan seperti berikut:

          a) Permohonan perbelanjaan bagi rawatan kepakaran di hospital swasta boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat bahawa;

              i. Keperluan rawatan kepakaran diperakukan oleh Pakar Perubatan Kerajaan; dan

              ii. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengesahkan rawatan kepakaran yang diperlukan tidak dapat disediakan oleh hospital Kerajaan.

        b) Kos yang ditanggung oleh Universiti adalah seperti berikut:

              i. Kos rawatan di hospital;

             ii. Bayaran makanan sebanyak lapan puluh peratus (80%) sekiranya dicaj secara berasingan daripada bayaran wad;

             iii. Bayaran wad sebanyak lapan puluh peratus (80%) sekiranya di caj secara berasingan dengan bayaran makanan berdasarkan kelayakan seperti jadual berikut:

             Kelayakan Wad Di Hospital Swasta

Bil

Kumpulan Perkhidmatan

Kelas Wad Hospital Swasta

1.

Pengurusan Tertinggi

Kelas Satu Bilik Seorang (Bilik Biasa)

2.

Pengurusan & Profesional

Kelas Satu Bilik Dua Orang

3.

Sokongan

Kelas Satu Bilik Empat Orang

            iv. Sekiranya bayaran makanan dan bayaran wad dicaj secara bersekali, kos yang akan ditanggung oleh Universiti bagi maksud bayaran makanan dan bayaran wad adalah sebanyak lapan puluh peratus (80%) daripada jumlah keseluruhan bayaran makanan dan bayaran wad tersebut.

       c) Kos yang ditanggung oleh staf atau pesara adalah seperti berikut:

           i. Bayaran wad yang melebihi daripada kelayakan seperti yang ditetapkan di jadual di atas;

           ii. Bayaran makanan sebanyak dua puluh peratus (20%) sekiranya ia dicaj secara berasingan daripada bayaran wad;

          iii. Bayaran wad sebanyak dua puluh peratus (20%) sekiranya ia dicaj secara berasingan daripada bayaran makanan berdasarkan kelayakan seperti jadual di atas;

          iv. Sekiranya bayaran makanan dan bayaran wad dicaj secara besekali, kos yang akan ditanggung oleh staf atau pesara bagi maksud bayaran makanan dan bayaran wad adalah sebanyak dua puluh peratus (20%) daripada jumlah keseluruhan bayaran makanan dan bayaran wad tersebut; dan

          v. Bayaran-bayaran lain seperti bayaran makanan di luar daripada komponen caj wad yang biasa, telefon, dobi, caj katil kepada pengiring dan sebagainya.

      d) Permohonan perbelanjaan bagi rawatan susulan di hospital swasta boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan rawatan tersebut tidak dapat disediakan oleh hospital atau klinik Kerajaan.

  7.10 Perbelanjaan Rawatan Di Institut Jantung Negara

          Syarat-syarat dan peraturan-peraturan bagi permohonan perbelanjaan untuk rawatan di Institut Jantung Negara (IJNSB) adalah ditetapkan seperti berikut:

         a) Permohonan perbelanjaan bagi rawatan di IJNSB boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat bahawa pesakit telah mendapat rawatan di hospital atau klinik Kerajaan atau swasta dan dirujuk oleh Pakar Perubatan Umum atau Pakar Kardiologi di hospital atau klinik Kerajaan atau swasta ke IJNSB;

         b) Mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam 'Panduan Mengenai Kemudahan Di Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJNSB).

         c) Permohonan perlu dikemukakan dengan menggunakan Borang Perubatan 1/09; dan

          d) Permohonan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

8.0 UMUM

       8.1 Bertugas Di Luar Negara

              Staf yang jatuh sakit semasa menjalankan tugas rasmi di luar negara dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan perubatan sendiri adalah layak menuntut balik perbelanjaan tersebut tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

               a) Belanja perubatan hendaklah sebanyak yang munasabah dan staf hendaklah seberapa yang boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan Negara di negara berkenaan, sekiranya ada;

               b) Belanja perubatan itu hanya untuk bayaran bagi rawatan perubatan biasa sahaja;

               c) Jika dimasukkan ke wad, bayaran wad adalah ditanggung oleh Universiti dan staf hanya dikenakan bayaran wad mengikut kadar Hospital Kerajaan di Malaysia. Bagaimanapun, jika staf dimasukkan ke wad kerana kecederaan yang berlaku semasa sedang menjalankan tugas rasmi atau atas urusan tidak rasmi, bayaran sepenuhnya akan ditanggung oleh Universiti melainkan atas kecuaiannya sendiri; dan

              d) Di negara yang mewajibkan pengambilan insurans perubatan/kesihatan maka bayaran premiumnya akan ditanggung oleh Universiti. Dalam kes ini semua tuntutan bayaran bagi rawatan perubatan hendaklah dikemukakan kepada syarikat insurans berkenaan.

         8.2 Rawatan Di Luar Negara

              Apabila staf atau tanggungan disahkan oleh sebuah Lembaga Perubatan yang dilantik oleh Universiti memerlukan rawatan khas yang tidak didapati di Malaysia dan dengan syarat ada pengesahan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa rawatan sedemikian memang tidak boleh didapati di Malaysia, maka staf atau tanggungan itu boleh dipertimbangkan oleh Lembaga untuk mendapatkan rawatan di luar negara atas biaya Universiti. Bayaran yang dibiayai oleh Universiti meliputi perkara-perkara berikut:

            a) Segala bayaran rawatan perubatan di hospital atau institusi kesihatan yang diluluskan termasuk bayaran wad bagi staf atau tanggungan yang layak;

            b) Bayaran sewa hotel dan elaun makan yang ditetapkan terhad kepada lima (5) hari selepas tiba di luar negara;

            c) Bayaran tambang kapal terbang pergi balik mengikut kelayakan yang ditetapkan; dan

            d) Bayaran seperti dinyatakan di (b) dan (c) bagi seorang pengiring jika Lembaga Perubatan berkenaan memperakukan bahawa pesakit perlu diiringi.

     8.3 Kemudahan Bersalin

          Universiti akan menanggung kos bersalin sebanyak RM500.00 seorang sekiranya staf perempuan atau isteri staf bersalin di pusat perubatan atau hospital swasta. Bil-bil rawatan akan dikemukakan oleh hospital kepada Bendahari untuk tujuan pembayaran. Bendahari akan membuat potongan gaji secara ansuran bagi tujuan mengutip semula baki bayaran daripada staf setelah menolak RM500.00 dalam tempoh maksima selama enam (6) bulan secara berterusan.

     8.4 Bayaran Pemeriksaan Kesihatan

Semua pemeriksaan kesihatan mesti dibuat di Pusat Kesihatan Universiti atau di Hospital Kerajaan sahaja. Bayaran pemeriksaan kesihatan (medical check-up) termasuk x-ray akan dibiayai oleh Universiti untuk staf sahaja dan terhad bagi tujuan-tujuan berikut:

          a) Perlantikan menjawat jawatan baharu di Universiti;

          b) Melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negara yang diluluskan oleh Universiti sekiranya staf disyaratkan menjalani pemeriksaan kesihatan;

          c) Menghadiri kursus/latihan yang diluluskan oleh Universiti sekiranya staf disyaratkan menjalani pemeriksaan kesihatan;

          d) Pemeriksaan kesihatan bagi staf yang mencapai umur empat puluh (40) tahun; dan

          e) Sebarang pemeriksaan kesihatan yang lain dengan syarat diarah atau diluluskan oleh Naib Canselor.

    8.5 Kemudahan Bagi Pesara

           Kemudahan perubatan akan diteruskan kepada pesara yang bersara secara wajib, pilihan atau atas sebab kesihatan yang disyorkan oleh sebuah Lembaga Perubatan di Hospital Kerajaan dan akan diberikan kemudahan rawatan pesakit luar di Pusat Kesihatan Universiti.

   8.6 Kemudahan Bagi Staf Yang Cuti Belajar Di Dalam Negeri

         Staf Universiti yang cuti belajar bergaji penuh, separuh gaji atau tanpa gaji adalah layak mendapat kemudahan perubatan di bawah skim ini.

    8.7 Kemudahan Bagi Staf Yang Cuti Belajar Di Luar Negara

           Staf Universiti yang cuti belajar di luar negeri tidak diberi kemudahan di bawah skim ini kecuali dalam tempoh pengajian tersebut staf berkenaan pulang dan berada di Malaysia adalah layak diberi kemudahan ini.

9.0 LEMBAGA PERUBATAN

       9.1 Lembaga Perubatan dan Keanggotaan

              Lembaga perubatan ialah satu badan yang ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan berkenaan penyakit yang dihidapi oleh staf dengan tujuan menentukan kelayakan cuti sakit, cuti separuh gaji, cuti tanpa gaji dan juga persaraan atas sebab-sebab kesihatan. Penubuhan dan keanggotaan Lembaga Perubatan adalah seperti berikut:

              Lembaga Perubatan ditubuhkan atas arahan Naib Canselor.

              a) Ia hendaklah terdiri daripada sekurang-kurangnya dua (2) orang pegawai perubatan dengan salah seorang daripada pegawai tersebut berkelayakan sebagai pakar atau mahir dalam bidang penyakit yang dihidapi oleh staf berkenaan. Ahli Lembaga ini boleh juga dilantik dari kalangan doktor swasta yang didapati sesuai; dan

               b) Laporan dan perakuan Lembaga Perubatan hendaklah dikemukakan kepada Naib Canselor.

       9.2 Kes-Kes Untuk Lembaga Perubatan

              Lembaga Perubatan boleh dipanggil bersidang untuk menimbangkan serta membuat perakuan bagi kes-kes berikut:

              a) Apabila staf disahkan masih tidak sihat setelah menghabiskan semua cuti sakit, cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji yang ia berkelayakan mengikut perbekalan cuti staf;

              b) Apabila doktor perubatan yang bertauliah berpendapat bahawa seseorang staf tiada harapan akan sembuh atau sihat untuk bertugas dan Universiti berpendapat staf tersebut perlu disarakan atas sebab-sebab kesihatan;

             c) Apabila staf tidak hadir bertugas kerana cuti sakit berjumlah 45 hari atau lebih pada tiap-tiap tahun selama tiga (3) tahun berturut-turut;

            d) Apabila kesihatan fizikal atau kesiuman fikiran staf diragui;

            e) Apabila staf hilang keupayaan menjalankan tugas akibat kemalangan semasa bertugas;

             f) Apabila staf disahkan mengidap tuberculosis, kusta, kanser atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS); dan

            g) Apabila staf jatuh sakit atau mengidap penyakit yang memerlukan rawatan khas perubatan luar negara.

     9.3 Laporan Lembaga Perubatan

           Laporan Lembaga Perubatan akan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah Universiti oleh Naib Canselor untuk tindakan seterusnya.

10.0 Kuasa Universiti

          Naib Canselor boleh membuat keputusan tentang sesuatu kes luar biasa yang tidak dinyatakan secara khusus dalam Skim ini atau merujukkan terus kes tersebut untuk diputuskan oleh Lembaga.

          Lembaga berhak meminda, mengubahsuai, membatalkan atau membuat semula Skim ini pada bila-bila masa mengikut budibicaranya.

Bil

Jenis Perkhidmatan 

Bayaran Perkhidmatan

01.

Telefon

Pesakit

02.

Dobi

Pesakit

03.

Cukai Perkhidmatan

Pesakit

04.

Pendaftaran

Pesakit

05.

Disposable

Pesakit

  • E-SERVIS
  • INTRANET
  • PARTNERS
  • PELAJAR
  • JABATAN UUM

MyGovernment MSC Malaysia MAMPU MyIdeas MyLine Tourism Malaysia   logo kpm Krstemy  SIRIM