• Perjumpaan Pendaftar Bersama Naib Canselor
  • KIK 2013
  • Hari Bersama Pelanggan 2013
  • Audit SIRIM QAS
  • Taklimat Insuran Bersama Staf UUM

By Plimun Web Design

DASAR PENGURUSAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

1.0 PENDAHULUAN

      1.1 Dasar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini diwujudkan bertujuan menyediakan garis panduan dan peraturan yang perlu diikuti dalam menguruskan aktiviti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Utara Malaysia. Ianya juga menerangkan tentang fungsi dan peranan yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan juga Jawatankuasa Kecil Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di peringkat PTJ.

     1.2 Dasar ini adalah berlandaskan kepada peruntukan-peruntukan "Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [AKTA 154]" terutamanya "Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan ) 1996 [P.U.(A) 616].

     1.3 Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang pertelingkahan/keraguan berhubung dengan pelaksanaan dasar ini maka "Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [AKTA 514]" adalah dirujuk dan diterima pakai oleh Universiti.

2.0 TAFSIRAN AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994

       2.1 Pernyataan yang dicatatkan sebagai "Seksyen" adalah merujuk kepada Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [AKTA 514] dan pernyataan yang dicatatkan sebagai "Peraturan" adalah merujuk kepada Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan) 1996 [P.U.(A) 616], kecuali dinyatakan sebaliknya.

      2.2 Petikan tafsiran Akta tersebut berhubung beberapa pengistilahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja;

             Seksyen 3(1) : Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya mengkehendaki makna yang lain;

               "majikan" ertinya majikan langsung atau majikan utama kedua-duanya;

              "majikan langsung" berhubung dengan pekerjaan yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya seseorang yang telah mengakujanji untuk melaksanakannya, di tempat kerja di mana majikan utama menjalankan perdagangan, perniagaan, profesyen, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apa-apa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau yang menjadi permulaan bagi kerja bagi yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud mana-mana perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak perkhidmatan denganya dipimjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama.

                "majikan utama" ertinya pemuya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan dan termasuklah;

       a) Pengurus, ejen atau orang yang pertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang pekerja;

       b) Penghuni sesuatu tempat kerja;

       c) Wakil di sisi undang-undang pemuya atau penghuni yang telah meninggal dunia; dan

      d) Mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun.

          "pekerja" ertinya seseorang yang diambil kerja dengan diberi gaji dibawah kontrak perkhidmatan mengenai atau yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini terpakai dan;

      a) Yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja industri itu, atau yang bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang berkaitan dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu dilakukan oleh pekerja itu di tempat kerja atau di tempat lain;

      b) Yang diambil kerja oleh atau melalui seseorang majikan langsung di tempat kerja industri itu atau di bawah pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja industri itu, atau yang menjadi permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri itu; atau

       c) Yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh orang dengannya orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu telah memasuki kontrak perkhidmatan.

       "tempat kerja" ertinya premis tempat orang-orang bekerja atau premis yang digunakan bagi penyimpanan loji atau bahan.

3.0 STRUKTUR ORGANISASI JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

       3.1 Berdasarkan Seksyen 30(1)(a) dan peraturan 20, struktur organisasi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UUM adalah merangkumi Jawatankuasa Induk dan jawatankuasa-jawatankuasa kecil.

           a) Jawatankuasa Induk, iaitu Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKPU); dan

           b) Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil, iaitu;

               i. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/Kolej/PTJ; dan

               ii. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Dewan Penginapan Pelajar (DPP).

     3.2 Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/Kolej/PTJ dan DPP adalah merupakan Jawatankuasa Kecil kepada Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.

     3.3 Struktur Organisasi hubungan Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti dengan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil di peringkat Jabatan/Kolej/PTJ dan DPP adalah seperti di lampiran.

     3.4 Secara keseluruhannya, semua Jabatan (Jabatan/Kolej/Pusat/Unit) di UUM adalah perlu membentuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) peringkat Jabatan/PTJ masing-masing sama ada membentuk Jawatankuasanya yang tersendiri atau gabungan-gabungan dengan Jabatan/PTJ yang lain adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan berikut;

          a) Jabatan/PTJ yang mempunyai bilangan staf yang melebihi 40 orang hendaklah menubuhkan JKKPnya yang tersendiri

          b) Manakala Jabatan/PTJ yang mempunyai kurang daripada 40 orang staf hendaklah menubuhkan JKKPnya yang digabungkan dengan beberapa jabatan/PTJ yang lain. Penggabungan tersebut adalah berdasarkan kepada 'core business' yang hampir sama dan/atau menduduki sesebuah bangunan yang sama, bersambungan atau berhampiran, atau

         c) Sebagaimana yang ditetapkan oleh JIKKPU

   3.5 Jawatankuasa induk, iaitu Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKPU)

         3.5.1 Bidang tugas dan fungsi Jawatankuasa

                  Mengikuti Seksyen 31 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994

                  Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ditubuhkan di tempat kerja menurut Seksyen 30;

                  a) Hendaklah sentiasa mengkaji semula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang-orang di tempat kerja;

                  b) Hendaklah menyiasat apa-apa perkara di tempat kerja

                      i. Yang dianggap oleh anggota jawatankuasa itu atau orang yang diambil kerja ditempat kerja itu adalah tidak selamat atau merupakan risiko kepada kesihatan ; dan

                     ii. Yang telah dibawa kepada perhatian majikan.

                 c) Hendaklah cuba menyelesaikan apa-apa perkara yang disebut dalam perenggan (b) dan, jika ia tidak berupaya berbuat demikian, maka hendaklah meminta Ketua Pengarah (Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia) supaya menjalankan suatu pemeriksaan tempat kerja itu bagi maksud itu, dan

                 d) Hendaklah menjalankan apa-apa fungsi lain yang boleh ditetapkan

                     Mengikut Peraturan 11 - Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996

                     Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan sesuatu tempat kerja hendaklah :

                     a) Membantu dalam pembuatan kaedah-kaedah keselamatan dan kesihatan dan sistem kerja yang selamat;

                     b) Mengkaji semula keberkesanan program keselamatan dan kesihatan;

                     c) Menjalankan kajian tentang 'trend' kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja, dan hendaklah melaporkan kepada majikan apa-apa keadaan atau amalan yang tidak selamat atau tidak sihat di tempat kerja bersama-sama dengan cadangan untuk tindakan pembaikan; dan

                    d) Mengkaji semula dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan membuat cadangan kepada majikan bagi apa-apa penyemakan dasar itu.

                         Mengikut Peraturan 12(a)-Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996 :

                      Sesuatu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan hendaklah memeriksa tempat kerja sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk menentukan jika terdapat apa-apa yang memudaratkan keselamatan dan kesihatan orang yang diambil kerja di dalamnya.

                      Lain-lain Fungsi dan Peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah seperti yang dinyatakan dan dijelaskan pada Peraturan-Peraturan 12-20 Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan dan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996

      3.5.2 Keahlian dan Keanggotaan Jawatankuasa JIKKPU

               a) Pengerusi : Pendaftar selaku majikan [Peraturan 6(1)]

               b) Setiausaha : Penolong Pendaftar selaku Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti yang diambil kerja [Peraturan 6(2)]

               c) Ahli-ahli:

           Berdasarkan Peraturan 5 (1), 5(2), ahli-ahli jawatankuasa yang lain hendaklah terdiri daripada wakil majikan/pengurusan dan wakil pekerja-pekerja berikut;

            Wakil-wakil Majikan atau Pengurusan

             - Timbalan Pendaftar (Timbalan Pengerusi)

             - Bendahari

             - Ketua Pustakawan

             - Pengarah Pusat Komputer

             - Pengarah Penerbit

             - Ketua Penolong Pendaftar UUM COB

             - Ketua Penolong Pendaftar UUM CAS

             - Ketua Penolong Pendaftar UUM COLGIS

           Wakil-wakil Pekerja

            - 1 anggota yang dicalonkan oleh PERSATU

            - 1 anggota yang dicalonkan oleh PERPATI

            - 1 anggota yang dicalonkan oleh KESKA

            - 1 anggota yang dicalonkan oleh SETIA

          Wakil-wakil Pelajar

            - Pengarah HEP

            - Presiden MPP

          Jawatankuasa Teknikal

            - 2 orang Pensyarah KKP

           - Pengarah JPP

           - Pengarah Keselamatan

           - Pengarah PKU

           - Pengerusi Pers. Bomba Sukarela UUM

    3.6 Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil

          3.6.1 Bidang tugas dan fungsi

                   Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan/PTJ (JKKPJ)

                  a) Mengikut Peraturan 20, fungsi dan peranan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil adalah untuk membantu Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKPU) memainkan peranan dan fungsinya bagi memenuhi kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Oleh yang demikian, berdasarkan Seksyen 31 - Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 dan Peraturan-Peraturan 11 dan 12 - Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan)1996, maka tugas-tugas dan Tanggungjawab Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil tersebut adalah seperti berikut, bagi setiap Jabatan/PTJ masing-masing;

                    i. Mengkaji semula dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan membuat cadangan kepada majikan atau Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti bagi apa-apa penyemakan dasar itu;

                   ii. Sentiasa mengkaji semula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan orang-orang di tempat kerja;

                  iii. Membantu dalam pembuatan kaedah-kaedah selamat dan kesihatan dan sistem kerja yang selamat;

                  iv. Mengkaji semula keberkesanan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan;

                  v. Memeriksa tempat kerja sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk menentukan jika terdapat apa-apa yang memudaratkan keselamatan dan kesihatan orang yang diambil kerja di dalamnya;

                 vi. Menyiasat apa-apa perkara di tempat kerja :

                       a) Yang dianggap oleh anggota jawatankuasa itu atau orang yang diambil kerja di tempat kerja di tempat kerja itu adalah tidak selamat atau merupakan risiko kepada kesihatan; dan

                       b) Yang telah dibawa kepada perhatian majikan atau Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.

                vii. Menyeselaikan apa-apa perkara yang disebut dalam perenggan (vi) di atas dan, jika ia tidak berupaya berbuat demikian, hendaklah meminta Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti supaya menjalankan suatu pemeriksaan tempat kerja bagi maksud itu;

                viii. Menjalankan kajian tentang 'trend' kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja, dan hendaklah melaporkan kepada majikan atau Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti apa-apa keadaan atau amalan yang tidak selamat atau tidak sihat di tempat kerja bersama-sama dengan cadangan untuk tindakan pembaikan; dan

                 ix. Hendaklah mempunyai apa-apa fungsi lain yang boleh ditetapkan.

                    a) Setiap Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada sebarang peringkat boleh membentuk Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil dibawahnya dari masa ke semasa bagi tujuan membantunya menjalankan fungsi-fungsi dan peranannya masing-masing, jika perlu.

        3.6.2 Keanggotaan dan Keahlian Jawatankuasa

                 Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan/PTJ (JKKPJ)

                 a) Pengerusi : Ketua Jabatan (Dekan/Pengarah/Ketua/Jabatan/Penyelaras/ Pengetua) atau yang setaraf dengannya hendaklah mempengerusikan JKKPJ. Manakala bagi JKKPJ yang digabungkan, salah seorang daripada Ketua Jabatan hendaklah dilantik dikalangan mereka bagi bagi mempengerusikan JKKPJ tersebut. Seboleh yang mungkin, Ketua Jabatan yang dilantik bagi mempengerusikan JKKPJ tersebut hendaklah terdiri dari Jabatan yang dominan.

                 b) Setiausaha : Penolong Pendaftar atau yang setaraf dengannya bagi sesebuah Jabatan hendaklah menjadi Setiausaha JKKPJ tersebut. Bagi JKKPJ yang digabungkan, Pengerusi JKKPJ hendaklah memilih dan melantik mana-mana Penolong Pendaftar atau yang setaraf dengannya bagi menjadi Setiausaha kepada JKKPJ tersebut. Manakala bagi Jabatan yang tiada terdapat Penolong Pendaftar, maka Pengerusi JKKPJ berkuasa untuk memilih mana-mana kalangan ahli JKKPJ bagi menjadi Setiausaha kalangan ahli JKKPJ bagi menjadi Setiausaha JKKPJ tersebut.

                c) Ahli-ahli:

                    i. Berdasarkan Peraturan 5(1) dan 5(2), ahli-ahli Jawatankuasa yang lain hendaklah terdiri daripada berikut;

                      - Mana-mana Jabatan/PTJ yang terdapat 100 orang atau kurang yang diambil kerja di tempat kerja hendaklah ada tidak kurang daripada dua (2) orang wakil pekerja am dua (2) orang wakil pengurusan, dan

                      - Mana-mana Jabatan/PTJ yang terdapat lebih daripada seratus orang yang diambil kerja di tempat kerja hendaklah ada tidak kurang daripada empat (4) orang wakil pengurusan dan empat (4) wakil pekerja bagi menganggoatai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan/PTJ masing-masing.

                   ii. Keahlian Jawatankuasa peringkat Jabatan/PTJ hendaklah di dapatkan daripada PERSATU, PERPATI, KESKA sebagai wakil-wakil pekerja dan jika wakil-wakil daripada PERSATU, PERPATI, KESKA di Jabatan/PTJ masing-masing tidak diperolehi, maka ketua-ketua Jabatan/PTJ bolehlah mendapatkan wakil-wakil pekerja daripada Jabatan/PTJ masing-masing.

                  iii. Bagi Jabatan/PTJ yang menggunakan sinaran magion (bahan radioaktif dan radas sinaran seperti mesin sinar x dan seumpamanya) hendaklah juga melantik Penyelia Keselamatan Sinaran/Juru x-ray sebagai ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/PTJ masing-masing.

                  iv. Keahlian JKKPJ yang digabungkan hendaklah mengambilkira keahlian daripada semua Jabatan/PTJ yang membentuk JKKPJ yang digabungkan tersebut.

4.0 LAIN-LAIN PERATURAN DAN PERIHAL PENGURUSAN JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN [JIKKPU & JKKPJ]

       4.1 Petikan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996 bagi memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa dan keanggotaannya.

            Kekosongan Jawatankuasa

            Peraturan 10 : sekiranya berlaku kekosongan di kalangan anggota-anggota suatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan, kekosongan itu hendaklah diisi oleh seorang yang dilantik dengan cara yang sama sebagaimana anggota jawatankuasa terdahulu yang perletakan jawatannya atau selainnya telah mewujudkan kekosongan itu

            Penyingkiran Anggota Jawatankuasa

            Peraturan 10 : Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan boleh menyingkirkan seseorang anggota dari jawatankuasa jika;

                    a) Dia gagal menghadiri mesyuarat jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran pengerusi

                    b) Dia didapati atau diisytiharkan sebagai tidak sempurna akal

                    c) Dia menjadi bankrap

                   d) Sebagai wakil pekerja, dia tidak lagi bekerja di tempat kerja

                   e) Telah dibuktikan terhadapnya, atau dia telah disabitkan atas, sesuatu pertuduhan dengan:-

                          i. Kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak

                         ii. Kesalahan di bawah undang-undang yang berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan; atau

                        iii. Apa-apa kesalahan jenayah yang lain; atau

                  f) Dia selainnya tidak dapat atau tidak berupaya untuk menunaikan kewajipannya sebagai anggota jawatankuasa.

                     Kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa, notis dan agenda

                     Peraturan 21(1) : Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah bermesyuarat seberapa kerap yang perlu setara dengan risiko yang menyertai jenis kerja tetapi hendaklah bermesyuarat tidak kurang daripada tiga bulan sekali

                     (2) Tiap-tiap anggota jawatankuasa hendaklah diberi notis bertulis yang menasabah mengenai apa-apa mesyurat jawatankuasa beserta dengan suatu salinan agenda mesyuarat itu yang dilampirkan pada notis itu

                     (3) Walau apa pun subperaturan (2), suatu mesyuarat hendaklah dipanggil dengan seta merta jika berlaku kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan badan yang serius kepada mana-mana orang, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya atau apa-apa situasi lain yang memerlukan perhatian seta-merta supaya dapat dipastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat tempat.

                   Kuorum Mesyuarat

                   Peraturan 24 : Pada tiap-tiap mesyuarat sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan, pengerusi, setiausaha dan tidak kurang daripada satu perdua baki anggota yang hadir hendaklah membentuk kuorum.

                   Bukan Anggota Boleh Menghadiri Mesyuarat

                   Peraturan 25(1) : Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan boleh mempelawa mana-mana orang yang terlibat dalam atau mempunyai pengetahuan tentang apa-apa kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja untuk menghadiri mana-mana mesyuarat jawatankuasa itu yang membincangkan peristiwa itu

                   (2) Jawatankuasa boleh mempelawa mana-mana orang lain untuk menghadiri mana-mana mesyuaratnya untuk membincangkannya apa-apa perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan

                    Perkara Yang Hendak Dibincangkan Dalam Mesyuarat

                    Peraturan 26 : Hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan kesihatan di tempat kerja boleh dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan

                    Minit Mesyuarat

                    Peraturan 27(1) : Satu salinan minit tiap-tiap mesyuarat sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah diberikan kepada tiap-tiap anggota jawatankuasa dan majikan tempat kerja dalam masa dua minggu selepas mesyuarat berlangsung;

                    (2) Majikan hendaklah menyimpan suatu salinan minit mesyuarat jawatankuasa di tempat kerja selama tempoh minimum tujuh (7) tahun bagi maksud pemeriksaan oleh pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan;

                    (3) Seseorang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan boleh pada bila-bila masa mengkehendaki supaya sesuatu salinan minit mesyuarat itu dikemukakan kepadanya dan majikan tempat kerja hendaklah dengan serta merta mematuhi kehendak itu.

        4.2 Petikan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 berkaitan kewajipan am pekerja yang sedang bekerja dan larangan diskriminasi ke atas pekerja dan anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan penalti adalah seperti berikut :

              Kewajipan Setiap Pekerja

              Seksyen 24(1) : Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja;

              a) untuk memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja;

              b) untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu melalui Akta ini mana-mana peraturan yang dibuat dibawahnya;

             c) untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau pakaian perlindungan yang diadakan oleh majikan bagi maksud mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatannya; dan

            d) untuk mematuhi apa-apa arahan atau langkah tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperkenalkan oleh majikannya atau mana-mana orang lain melalui atau dibawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawahnya.

           (2) Seseorang yang melanggar peruntukan seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu (RM1,000.00) ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) bulan atau kedua-duanya.

           Peraturan 25 : Seseorang yang dengan sengaja, melulu atau cuai mengganggu atau menyalahgunakan apa-apa jua yang diadakan atau menyalahgunakan apa-apa jua yang diadakan atau dilakukan untuk kepentingan keselamatan, kesihatan dan kebajikan menurut Akta ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi dua puluh ribu (RM20,000.00) ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.

          Diskriminasi Terhadap Pekerja Dan Anggota Jawatankuasa

          Seksyen 27(1) : Tiada majikan boleh memecat seseorang pekerja, mencederakannya dalam pekerjaannya atau mengubah kedudukannya sehingga memudaratkannya semata-mata oleh sebab pekerja itu;

               a) Membuat sesuatu aduan mengenai perkara yang dianggapnya tidak selamat atau suatu risiko kepada kesihatan;

               b) Adalah anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang ditubuhkan menurut Akta ini atau;

               c) Menjalankan mana-mana fungsinya sebagai anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan itu.

         Tiada Kesatuan Sekerja Yang Boleh Mengambil Tindakan Ke Atas Anggotanya

          Seksyen 27 (2) : Tiada kesatuan sekerja boleh mengambil apa-apa tindakan keatas anggotanya yang, sebagai seorang pekerja disesuatu tempat kerja;

               a) Membuat suatu aduan mengenai perkara yang dianggapnya tidak selamat atau suatu risiko kepada kesihatan;

               b) Adalah anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang ditubuhkan menurut Akta ini: atau;

               c) Menjalankan mana-mana fungsinya sebagai anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan itu.

5.0 TARIKH KUATKUASA

       Dasar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya diluluskan oleh JPU Kali Ke-174 Bil. 9/2011 pada 31 Julai 2011.

6.0 PEMAKAIAN

       Dasar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini terpakai kepada semua Jabatan/Kolej/PTJ di Universiti Utara Malaysia.\

7.0 PENUTUP

      Adalah diharapkan dengan penubuhan Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKP) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/PTJ (JKKPJ) akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Jabatan/PTJ masing-masing selaras dengan konsep pengaturan sendiri (self regulation) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

8.0 RUJUKAN

        i) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

  • E-SERVIS
  • INTRANET
  • PARTNERS
  • PELAJAR
  • JABATAN UUM

MyGovernment MSC Malaysia MAMPU MyIdeas MyLine Tourism Malaysia  Krstemy  SIRIM