• Jabatan Pendaftar
  • Taklimat Insuran Bersama Staf UUM 2014
  • Hari Bersama Pelanggan 2014
  • Aktivit Jabatan Pendaftar 2014

By Plimun Web Design

GARIS PANDUAN CUTI SABATIKAL

1.0 Cuti Sabatikal

      1.1 Cuti Sabatikal diberikan tertakluk kepada seseorang pegawai iaitu:

            a) Tidak lebih daripada lima bulan lamanya, jika pegawai telah genap perkhidmatan tiga tahun; atau

            b) Tidak lebih daripada sembilan bulan lamanya, jika pegawai telah genap perkhidmatan lima tahun,

      1.2 Program-program Cuti Sabatikal yang diluluskan ialah:

            a) Pengajian atau penyelidikan dalam sesuatu bidang yang tertentu; atau

            b) Lawatan untuk mendapatkan pengalaman dalam, dan memperolehi pengetahuan mengenai, perkembangan dan kemajuan terbaharu dalam sesuatu bidang yang tertentu; dan

            c) Penulisan atau penerbitan.

2.0 Syarat-Syarat Cuti Sabatikal

      2.1 Syarat-syarat seseorang pegawai boleh diberi Cuti Sabatikal:

            a) Pegawai telah disahkan dalam jawatannya;

            b) Pegawai tidak akan:

                i. melebihi umur lima puluh tiga tahun pada tarikh pegawai akan menghabiskan Cuti Sabatikalnya, sekiranya cuti itu diambil setelah genap perkhidmatan lima tahun; atau

               ii. melebihi umur lima puluh empat tahun pada tarikh pegawai akan menghabiskan Cuti Sabatikalnya, sekiranya cuti itu diambil setelah genap perkhidmatan tiga tahun; dan

           c) Pegawai telah genap perkhidmatan tiga tahun, atau perkhidmatan lima tahun, mengikut mana-mana yang berkenaan:

               i. dalam kes seseorang pegawai yang tidak pernah pada bila-bila masa sebelumnya mengambil Cuti Sabatikal, selepas sahaja tarikh perlantikan pertamanya ke dalam perkhidmatan sebagai seorang pegawai; atau

              ii. dalam kes seseorang pegawai yang pernah pada bila-bila masa sebelumnya mengambil Cuti Sabatikal, selepas sahaja tarikh habis Cuti Sabatikalnya yang terakhir sebelumnya.

3.0 Permohonan untuk mendapatkan Cuti Sabatikal:

      a) Mengemukakan borang permohonan Cuti Sabatikal;

      b) Hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Pendaftar daripada tiga bulan sebelum tarikh Cuti Sabatikal;

      c) Menyediakan cadangan rangka kerja sepanjang Cuti Sabatikal yang dipohon.

     d) Jika Cuti Sabatikal hendak diambil sebaik sahaja genap perkhidmatan tiga tahun, kelulusan hanya program yang akan dijalankan sepenuhnya di Malaysia kecuali dalam keadaan khas jika difikirkannya patut berbuat demikian, meluluskan program yang hendak dijalani di luar Malaysia sepenuhnya atau sebahagiannya atas syarat-syarat berikut:

         i. pegawai itu tidak berhak dibayar dan tidak boleh dibayar apa-apa perbelanjaan perjalanan; dan

        ii. pegawai itu hendaklah dibayar hanya elaun sara hidup tempatan atau apa-apa elaun lain pada kadar yang telah diluluskan bagi seorang guru yang berCuti Sabatikal secara tempatan.

    e) Jika Cuti Sabatikal hendak diambil sebaik sahaja genap perkhidmatan lima tahun, maka jika kemudahan-kemudahan bagi program Cuti Sabatikal boleh didapati di dalam Malaysia dan juga di luar Malaysia, Naib Canselor hendaklah menentukan sama ada program itu hendak dijalani sepenuhnya atau sebahagiannya di luar Malaysia.

4.0 Gaji dan Elaun

       Seseorang pegawai yang telah diluluskan Cuti Sabatikal hendaklah dibayar gaji penuh bagi jawatan hakikinya selama tempoh cuti tersebut.

5.0 Seseorang pegawai yang diberi Cuti Sabatikal hendak dijalani di luar Malaysia:

       a) Hendaklah menerima perbelanjaan-perbelanjaan perjalanan dan elaun-elaun berkenaan dengan cuti tersebut mengikut apa-apa kadar sebagaimana yang ditentukan; dan

       b) Hendaklah menerima pembayaran ganti bagi premium insurans kesihatannya atau fee berkenaan dengan suatu Skim Kesihatan Kebangsaan atau Skim Kesihatan Pelajar-pelajar yang disertainya, selama tempoh cuti yang dihabiskan di luar Malaysia, tertakluk kepada apa-apa had yang ditentutkan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

6.0 Laporan Tamat Cuti Sabatikal

      a) Seseorang pegawai yang menjalani program Cuti Sabatikal di luar Malaysia hendaklah mendapatkan suatu laporan bertulis daripada penyelianya atau Ketua Jabatannya di universiti, institusi atau organisasi lain di mana program itu dijalani, dan mengemukakan laporan tersebut;

      b) Seseorang pegawai yang menjalani program Cuti Sabatikalnya di Malaysia hendaklah melaporkan kemajuan kerja yang telah dibuat olehnya kepada Ketua Jabatannya atau Penolong Naib Canselor sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap tiga bulan dan mengikut apa-apa cara yang dikehendaki oleh Ketua Jabatan atau Penolong Naib Canselor;

      c) Seseorang pegawai yang telah bercuti sabatikal, sama ada di dalam Malaysia atau di luar Malaysia, hendaklah mengemukakan, suatu laporan mengenai kerja yang telah dijalankan olehnya di bawah program Cuti Sabatikal itu kepada Pendaftar melalui Ketua Jabatannya dan Penolong Naib Canselor dalam tempoh tiga puluh hari selepas pegawai kembali melapor diri daripada Cuti Sabatikalnya;

      d) Seseorang pegawai, yang gagal mengemukakan laporan dalam masa yang ditetapkan itu, maka tidak boleh diberi pertimbangan untuk mendapat apa-apa Cuti Sabatikal di masa depan.

7.0 Perjanjian

     a) Pemberian Cuti Sabatikal kepada seseorang pegawai adalah tertakluk kepada syarat bahawa pegawai itu hendaklah menyempurnakan suatu perjanjian dengan dua orang penjamin mengakui janji akan berkhidmat di Universiti selama:

          i. tempoh dua belas bulan dari tarikh pegawai melaporkan diri untuk bertugas sekembalinya daripada Cuti Sabatikalnya, jika cuti itu diambil sebaik sahaja genap perkhidmatan tiga tahun; atau

         ii. tempoh dua puluh empat bulan dari tarikh pegawai melaporkan diri untuk bertugas sekembalinya daripada Cuti Sabatikalnya, jika cuti itu diambil sebaik sahaja genap perkhidmatan lima tahun.

8.0 Hal-hal Lain

       a) Apa-apa cuti rehat yang mungkin telah dikumpulkan oleh seseorang pegawai sebelum pegawai memulakan Cuti Sabatikal hendaklah disifatkan telah luput mulai dari tarikh pegawai memulakan Cuti Sabatikal itu.

       b) Seseorang pegawai yang sedang bercuti sabatikal berada dalam perkhidmatan Universiti semasa cuti itu, dan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa pekerjaan atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti untuk mendapat apa-apa keuntungan daripada mana-mana punca selain daripada Universiti tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada Naib Canselor.

      c) Pemberian Cuti Sabatikal hendaklah mengikut budi bicara Naib Canselor yang mana, apabila menimbangkan sesuatu permohonan atau kelas permohonan tertentu untuk mendapatkan Cuti Sabatikal, atau apabila menimbangkan secara am dalam sesuatu tempoh tertentu permohonan-permohonan untuk mendapatkan Cuti Sabatikal, hendaklah memberi perhatian yang sewajarnya tentang desakan perkhidmatan, implikasi kewangan yang terlibat dan kepentingan Universiti pada keseluruhannya atau dalam sesuatu hal tertentu.

  • E-SERVIS
  • INTRANET
  • PARTNERS
  • PELAJAR
  • JABATAN UUM

MyGovernment MSC Malaysia MAMPU MyIdeas MyLine Tourism Malaysia   logo kpm Krstemy  SIRIM